SEMUANYA bermula di lokasi penggambaran. Perkenalan awal yang tidak lebih atas dasar persahabatan dan profesional akhirnya membuahkan bibit-bibit cinta di hati dua pelakon drama bersiri Blogger Boy yang sedang ditayangkan di 8TV ini.
Akui Julie Woon yang membawakan watak Nina di dalam drama itu, dia sendiri tidak menyangka pemuzik dan pengacara bernama Qushairi Razali atau Qi yang dikenalinya semasa sesi ujibakat drama tersebut sebenarnya menepati kriteria lelaki idamannya.
"Saya tidak menafikan kami berada dalam fasa saling mengenali. Saya tidak pernah mengimpikan keluar dengan ahli pemuzik. Selain berlainan bangsa, dia juga lelaki yang tinggi lampai.
"Moga-moga kami ditakdirkan bersama-sama... dia mempunyai segala-gala kriteria yang tidak pernah saya fikirkan.
"Segala-galanya bergantung kepada jodoh dan kemajuan dalam perhubungan kami," akui Julie sambil senyum tersipu-sipu dan mengerling ke arah Qi yang menemaninya.
Pertemuan mata dua insan yang dilamun cinta dan kuntuman senyuman mereka itu hakikatnya sudah menjelaskan segala-gala di hati masing-masing.
Berbanding dengan selebriti-selebriti tertentu yang menyimpan kemas percintaan mereka, pasangan secocok Qi-Julie ini nampaknya lebih bersifat terbuka dalam soal cinta.
"Saya tidak takut perhubungan kami diketahui.. asalkan kami tidak mengambilnya dari perspektif negatif atau mengganggu kerja-kerja lakonan kami dalam Blogger Boy musim kedua nanti," dedah Julie.
Apakah keistimewaan Qi di mata Julie? "Qi sangat merendah diri. Dia menegur semua orang dan tidak pernah memburuk-burukkan orang lain.
"Qi ialah jenis orang yang 'rare'. Dia percaya pada karma iaitu buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. Misalnya, jika dia melihat orang lain tertekan, dia akan cuba berjenaka," ujar Julie.
Julie turut mendedahkan Qi ialah seorang yang romantis. Menurutnya, Qi akan bermain gitar, dram dan menyanyi untuk menghiburkan hatinya.
Mengenai perkembangan terkini kerjayanya, jelitawan berusia 25 tahun ini berkata, dia bakal mengendalikan serta mengacarakan program televisyen "Panorama" di sebuah stesen televisyen tempatan.
Kata Julie, dia julung kali menulis skrip untuk program itu dan dia akan menggunakan bahasa Melayu (BM).
"Ia akan menceritakan isu-isu kemanusiaan, sains dan teknologi," ujarnya sambil menambah Qi banyak membantunya dalam sebutan dan nahu BM.
Selain itu, Julie berkata, dia sekali lagi akan berlakon bersama Qi dalam filem 'Cinta Hasnol' tidak lama lagi.
Menurutnya, dia berasa teruja membawa watak seorang pelacur yang sangat berbeza daripada watak Nina dalam filem 'Blogger Boy'.
Katanya, ini memberi ruang kepadanya untuk memperkembangkan bakat lakonan.
No comments:
Post a Comment