~Tu Dia Macam2 Ada.. Nie semua SPONSER besar Pak Cik nie~

Wednesday, March 11, 2009

Pasangan belangkas Mawi-Ekin

Pasangan belangkas Mawi-Ekin bulan madu kedua di Sepanyol?

PASANGAN selebriti popular ini cukup romantis. Sejak ikatan cinta mereka disatukan pada 20 Disember tahun lalu, penyanyi popular Mawi dan isterinya, Nora'asikin Rahmat atau mesra disapa Ekin memang dilihat seperti 'belangkas'.

Ketepikan apa saja suara-suara sumbang yang seolah-olah tidak senang dengan hubungan suci pasangan ini kerana baik Mawi mahupun Ekin, mereka tidak pernah ambil pusing dengan hal remeh seperti itu dan akui cukup selesa berdua kemana-mana. Dan lantaran itu juga Mawi lebih senang melantik isterinya itu untuk menguruskan jadual seninya.

Hampir tiga bulan bergelar suami isteri, pasangan ini semakin bahagia melayari bahtera rumahtangga. Terbaru, Mawi dikatakan akan membawa Ekin ke Sepanyol pula pada pertengahan April depan.

Mungkinkah ia merupakan destinasi 'honeymoon' kedua pasangan ini setelah pertama kali berbulan madu di Korea Selatan pada Januari lalu?

Mawi dan Ekin makin bahagia melayari bahtera rumahtangga bersama - foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG

"Kami ke sana bukan untuk berbulan madu. Sebenarnya, saya akan menyambung semula program Langkah Mawi terbitan Mawi World dan destinasi pertama yang akan kami pergi ialah Sepanyol.

"Jadi, sudah tentu saya akan bawa Ekin bersama. Tetapi kami ke sana lebih di atas dasar kerja.

"Saya baru saja tamat menjalani penggambaran filem Magika dan ketika ini sedang terlibat dengan teater Sirah Junjungan. Selepas habis teater itu nanti, saya akan tumpukan perhatian sepenuhnya terhadap projek Langkah Mawi ini," kata Mawi yang ditemui pada rakaman program Kelab Pop di Wisma Ali Bawal, Petaling Jaya, semalam.

Menurut penyanyi berusia 28 tahun ini, program Langkah Mawi yang pernah disiarkan pertama kalinya di Astro Ria pada tahun lalu juga akan ke destinasi-destinasi lain selepas itu, tetapi buat masa ini negara yang akan dikunjunginya itu masih belum ditetapkan.

"Seperti yang sebelum ini, Langkah Mawi kali ini masih akan mengupas tentang muzik, fesyen, makanan dan budaya negara-negara tertentu. Buat masa ini, saya hanya terfikir untuk ke Sepanyol dan masih berbincang tentang negara-negara lain.

"Insya-Allah, Ekin juga akan muncul bersama saya di dalam sebuah episod istimewa Langkah Mawi ini," kata penyanyi yang berasal dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini.

Sengaja diajukan pula tentang subjek 'anak', Mawi sambil tersenyum hanya menjawab:

"Belum ada rezeki. Rasanya, saya pun belum ada ciri-ciri bapa kot," ujar Mawi dalam nada berseloroh.

Ditanya tentang perkembangan lain karier seninya, Mawi sempat menceritakan pengalamannya membintangi filem muzikal fantasi arahan Edry KRU, Magika yang baru tiga hari tamat penggambarannya.

Turut membintangi filem itu antara lain ialah Diana Danielle, Ziana Zain, Ning Baizura dan Ogy Ahmad Daud.

"Banyak pengalaman baru saya kutip ketika berlakon filem ini. Ia tidak sama seperti yang saya buat untuk filem pertama saya, Jin Notti dulu. Memandangkan filem ini berkonsepkan muzikal, saya perlu menyanyi dan berlakon pada masa yang sama.

"Memang cukup mencabar untuk lakukannya apatah lagi saya perlu juga bermain dengan emosi. Tetapi Edry sendiri banyak membantu saya," kata Mawi yang membawakan watak Badang di dalam filem itu.

Dalam pada itu, ditanya tentang kesihatan ibunya, Ramlah Sarlan yang baru-baru ini dikatakan tenat kerana diserang penyakit darah tinggi, kata Mawi, dia bersyukur kerana ibunya kini semakin sihat.

"Sejak dia sakit tempoh hari, kerap juga saya pulang ke kampung di Kulai. Sudah lebih lima kali saya pulang menjenguk ibu sejak bulan lalu.

"Malah, kelmarin saya dan Ekin sempat balik ke Kulai untuk menyambut hari lahir ibu yang ke-63. Dia nampak cukup gembira dan Alhamdulillah, tahap kesihatannya juga semakin baik.

"Tetapi dari masa ke semasa, dia masih meneruskan rawatan di salah sebuah hospital di sana," kata Mawi.

No comments: