Semoga kamu bahagia la Ally... kalau betul nanti jadi suami isteri jimat laa kamu tak payah beli kasut...
Elyana dan Ally Iskandar dikhabarkan semakin intim.
Oleh WAHIDA ASRANI
PASANGAN selebriti popular ini cukup romantis. Sejak ikatan cinta mereka disatukan pada 20 Disember tahun lalu, penyanyi popular Mawi dan isterinya, Nora'asikin Rahmat atau mesra disapa Ekin memang dilihat seperti 'belangkas'.
Ketepikan apa saja suara-suara sumbang yang seolah-olah tidak senang dengan hubungan suci pasangan ini kerana baik Mawi mahupun Ekin, mereka tidak pernah ambil pusing dengan hal remeh seperti itu dan akui cukup selesa berdua kemana-mana. Dan lantaran itu juga Mawi lebih senang melantik isterinya itu untuk menguruskan jadual seninya.
Hampir tiga bulan bergelar suami isteri, pasangan ini semakin bahagia melayari bahtera rumahtangga. Terbaru, Mawi dikatakan akan membawa Ekin ke Sepanyol pula pada pertengahan April depan.
Mungkinkah ia merupakan destinasi 'honeymoon' kedua pasangan ini setelah pertama kali berbulan madu di Korea Selatan pada Januari lalu?
"Kami ke sana bukan untuk berbulan madu. Sebenarnya, saya akan menyambung semula program Langkah Mawi terbitan Mawi World dan destinasi pertama yang akan kami pergi ialah Sepanyol.
"Jadi, sudah tentu saya akan bawa Ekin bersama. Tetapi kami ke sana lebih di atas dasar kerja.
"Saya baru saja tamat menjalani penggambaran filem Magika dan ketika ini sedang terlibat dengan teater Sirah Junjungan. Selepas habis teater itu nanti, saya akan tumpukan perhatian sepenuhnya terhadap projek Langkah Mawi ini," kata Mawi yang ditemui pada rakaman program Kelab Pop di Wisma Ali Bawal, Petaling Jaya, semalam.
Menurut penyanyi berusia 28 tahun ini, program Langkah Mawi yang pernah disiarkan pertama kalinya di Astro Ria pada tahun lalu juga akan ke destinasi-destinasi lain selepas itu, tetapi buat masa ini negara yang akan dikunjunginya itu masih belum ditetapkan.
"Seperti yang sebelum ini, Langkah Mawi kali ini masih akan mengupas tentang muzik, fesyen, makanan dan budaya negara-negara tertentu. Buat masa ini, saya hanya terfikir untuk ke Sepanyol dan masih berbincang tentang negara-negara lain.
"Insya-Allah, Ekin juga akan muncul bersama saya di dalam sebuah episod istimewa Langkah Mawi ini," kata penyanyi yang berasal dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini.
Sengaja diajukan pula tentang subjek 'anak', Mawi sambil tersenyum hanya menjawab:
"Belum ada rezeki. Rasanya, saya pun belum ada ciri-ciri bapa kot," ujar Mawi dalam nada berseloroh.
Ditanya tentang perkembangan lain karier seninya, Mawi sempat menceritakan pengalamannya membintangi filem muzikal fantasi arahan Edry KRU, Magika yang baru tiga hari tamat penggambarannya.
Turut membintangi filem itu antara lain ialah Diana Danielle, Ziana Zain, Ning Baizura dan Ogy Ahmad Daud.
"Banyak pengalaman baru saya kutip ketika berlakon filem ini. Ia tidak sama seperti yang saya buat untuk filem pertama saya, Jin Notti dulu. Memandangkan filem ini berkonsepkan muzikal, saya perlu menyanyi dan berlakon pada masa yang sama.
"Memang cukup mencabar untuk lakukannya apatah lagi saya perlu juga bermain dengan emosi. Tetapi Edry sendiri banyak membantu saya," kata Mawi yang membawakan watak Badang di dalam filem itu.
Dalam pada itu, ditanya tentang kesihatan ibunya, Ramlah Sarlan yang baru-baru ini dikatakan tenat kerana diserang penyakit darah tinggi, kata Mawi, dia bersyukur kerana ibunya kini semakin sihat.
"Sejak dia sakit tempoh hari, kerap juga saya pulang ke kampung di Kulai. Sudah lebih lima kali saya pulang menjenguk ibu sejak bulan lalu.
"Malah, kelmarin saya dan Ekin sempat balik ke Kulai untuk menyambut hari lahir ibu yang ke-63. Dia nampak cukup gembira dan Alhamdulillah, tahap kesihatannya juga semakin baik.
"Tetapi dari masa ke semasa, dia masih meneruskan rawatan di salah sebuah hospital di sana," kata Mawi.
Oleh WAHIDA ASRANI
[SEMASA] PETALING JAYA: Kehidupan tiga artis remaja, Diana Danielle, Suki dan Aliff Satar ketika menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang bakal bermula pada 19 Mac ini akan dirakamkan dan disiarkan dalam bentuk program realiti di 8TV.
Menurut Diana yang dihubungi hari ini, perkara itu telah pun dibincangkan oleh pihak stesen televisyen itu bersama Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), namun sebarang kata putus belum lagi dibuat.
"Apa yang diberitahu oleh ibu saya, perbincangan memang telah dibuat. Pihak JLKN juga telah bersetuju dan kemungkinan akan dibuat sebanyak lapan episod.
"Tujuan ia dijadikan dalam bentuk program realiti ialah untuk memaparkan pembabitan artis-artis dalam PLKN dan pada masa yang sama dapat menunjukkan kepada remaja di luar sana bagaimana kehidupan sebenar di PLKN.
"Tetapi, sejauhmana perkara ini dibincangkan, saya sendiri kurang pasti. Apapun bagi saya, ini satu langkah positif dan amat menyeronokkan," kata Diana yang dihubungi, semalam.
Pelakon berusia 18 tahun ini turut melahirkan perasaan terujanya untuk mengikuti sesi PLKN kali ini.
"Buat masa ini, saya belum lagi menerima surat pengesahan daripada JLKN. Malah, lokasi kem saya ditempatkan juga masih belum saya ketahui.
"Tetapi, memang nama saya sudah disenaraikan...ada yang kata saya ditempatkan di Sarawak la, Sepang la...saya tidak kisah di mana-mana pun.
"Cuma saya akui, perasaan gementar tu memang ada apatah lagi saya tidak pernah berjauhan begitu lama dengan ibu saya.
"Tetapi, itu bukan alasan untuk saya tidak sertai program ini. Ia pasti akan jadi pengalaman baru buat saya kelak," kata Diana yang ketika ini sedang sibuk menghabiskan penggambaran filem Magika, sebelum menyertai PLKN selama tiga bulan.
Sebelum ini, Diana pernah tersenarai sebagai peserta PLKN pada sesi pertama program itu, Disember lalu. Tetapi dia memohon untuk membuat penangguhan kerana terikat dengan jadual seni.
Aliff dan Suki juga pernah tersenarai dalam sesi PLKN sebelum ini, namun mengutarakan alasan yang sama dan turut meminta penangguhan.
PAKCIK : Eishhh tu la dikatakan artis..buat apa pon orang ikut..walaupon masuk program kerajaan...dan yg masuk tu putih gebu la pulak... eishhh PAKCIK pon suka nak ikut aihhh...!!!
[SEMASA] PETALING JAYA: Berita baik bagi penonton yang belum berpeluang menonton filem Geng: Pengembaraan Bermula. Pengarahnya, Mohd. Nizam Abd. Razak hari ini berkata pihak pawagam meneruskan tayangan filem tersebut untuk minggu keempat ini.
Filem terbitan Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. itu ditayangkan di pawagam sejak 12 Februari lalu.
Kini, filem yang menampilkan watak popular iaitu Upin dan Ipin ini telah berjaya memberikan pulangan modal selepas membelanjakan sebanyak RM4.2 juta untuk pembikinannya.
“Filem Geng secara rasminya telah mengumpul RM5 juta dalam masa tiga minggu. Lagi RM800,000 untuk filem ini memecah rekod filem Melayu.
“Saya rasa minggu ini kita boleh mengutip minimum RM1 juta,” luah Nizam mengenai kejayaan kutipan filem tersebut.
Selain itu, Nizam turut berkata filem ini kemungkinan akan dilanjutkan tayangannya ke musim cuti sekolah pula jika masih mempunyai permintaan dan tidak mustahil jika dia berjaya mencapai sasaran kutipan sebanyak RM10 juta.
“Kalau dapat RM8 juta pun sudah ok..,” beritahunya.
Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ
[SEMASA] PETALING JAYA: Sorakan dan tepukan daripada penonton Gelanggang Raja Lawak Astro musim ketiga peringkat akhir di Dewan Auditorium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini, malam tadi telah membuktikan yang kumpulan Sepah memang layak bergelar juara.
Kemenangan Sepah sekaligus menepati ramalan ramai pihak termasuklah pihak juri lebih-lebih lagi apabila undian Sistem Pesanan Ringkas (SMS) berpihak kepada tiga jejaka berasal dari Johor iaitu Shahmira Muhamad atau Shuib, 24; Mohd. Nadzri Zainal atau Jep, 23, dan Mohd. Noor Murad atau Mamat, 23.
Sepah yang mengutip undian sebanyak 48.12 peratus berjaya membawa pulang hadiah sebuah kereta jenama Citroen Picasso, wang tunai RM20,000, barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.
Menurut pelakon dan pengarah teater, Fauziah Nawi selaku pengkritik tetap program ini, dia memang nampak kesungguhan yang dipamerkan oleh Sepah pada malam ini seolah-olah bersetuju dengan kemenangan kumpulan yang pernah digelarnya sebagai ‘muka pecah pintu’ itu.
“Saya juga menyukai persembahan Sepah yang konsisten pada setiap minggu. Namun, saya memang tidak sangka dengan persembahan mereka pada malam ini.
“Mereka juga menunjukkan lawak yang semulajadi,” ulasnya yang turut meminta maaf kepada kumpulan tersebut termasuk keluarga dan peminat mereka secara langsung di dalam program itu.
Menjawab tentang persoalan mengapa dia terdetik untuk meminta maaf secara terbuka kepada Sepah dan yang lain, wanita yang gemar membahasakan dirinya sebagai ‘Ibu’ itu berkata dia berbuat demikian demi memuaskan hati semua pihak yang mungkin terasa dengan kata-katanya itu.
“Minggu lepas saya telah minta maaf kepada Sepah kerana menggelarkan kumpulan ini sebagai ‘muka pecah pintu’.
“Tetapi saya tahu hati mereka baik. Mungkin sebab saya kerap ulang gelarkan mereka, jadi saya rasa memang patut untuk saya meminta maaf buat minggu terakhir ini,” jelas Fauziah di majlis sidang media tersebut.
Dalam pada itu, peserta wanita pertama yang layak ke peringkat akhir, Nuur Jihan Musa atau Jihan, 25, dinobatkan sebagai naib juara selepas berjaya meraih undi sebanyak 30.82 peratus.
Dengan kemenangan itu, Jihan turut tidak pulang dengan tangan kosong kerana sebuah motosikal jenama Naza Blade 250R, wang tunai RM14,000, barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro menjadi miliknya.
Sementara Mohd. Amirullah Azmi atau Amir yang dianggap sebagai peserta yang tidak layak memasuki peringkat akhir ini mendapat tempat ketiga dengan undian 21.07 peratus.
Amir tetap mendapat hadiah berupa wang tunai RM8,000, barangan elektrik dan trofi sumbangan Astro.
Selain Fauziah Nawi, mereka yang turut memberikan kritikan pedas dan membina adalah Zaibo dan Shamsul Ghau Ghau selaku pengkritik tetap manakala Adlin Aman Ramli sebagai pengkritik jemputan.
Selain peserta lain dalam Raja Lawak 3, juara Raja Lawak 2, Nabil turut membuat persembahan sebelum hos program, Johan dan Zizan Raja Lawak 1 mengumumkan keputusan pemenang.
Pelawak dan pelakon veteran seperti Datuk Yahya Sulong, Param dan Hamid Gurkha juga merupakan antara mereka yang hadir menyaksikan program itu.
Turut serta adalah Along dan Azrul Cham yang turut ditugaskan membuat lintas langsung upacara karpet merah yang pertama kali diadakan dalam program tersebut, Radhi Khalid, Datuk Aziz Sattar, Mazin, Imuda, Sathiya dan Salih Yaacob.