~Tu Dia Macam2 Ada.. Nie semua SPONSER besar Pak Cik nie~

Sunday, January 18, 2009

APEK nak waris generasi lawak kat NABIL pulak...

baguih hasrat hang nie APEK... PAKCIK tabik kat hang..kira tak kemut sorang laa...semoga pengganti @ pelapis hang ada laa nanti...

Apek rela di ‘overshadow’ Nabil

Apek mengagumi bakat lawak yang dimiliki oleh Nabil.Foto The Star Oleh: SHAARI CHE MAT

SEJAK hampir sedekad lalu pelakon Saiful Apek, 40 tetap unggul sebagai pelawak nombor satu negara. Bermula Senario The Movie pada 1999, Apek terus laris setiap tahun hingga pernah membintangi lapan filem sepanjang 2005.

Bagaimanapun, kemunculan Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil tahun lalu memberi gambaran seakan Apek tidak lagi berada di tangga teratas kerana aura yang dimiliki juara Raja Lawak musim kedua itu cukup hebat.

Lebih mengukuhkan fakta berkenaan apabila lakonan Nabil dalam filem terbaru, Sifu dan Tonga lakonan Nabil dilihat lebih menonjol berbanding lakonan Saiful Apek.

Ketika diajukan soalan berkenaan, nyata jejaka yang berasal dari Kuala Lumpur ini tidak mudah melatah.

“Bagi saya overshadow dalam lakonan perlu lebih-lebih lagi jika cerita lawak. Namun pada masa yang sama biarlah ia sesuai dengan situasi dan sesuatu babak dalam filem berkenaan.

“Sesuatu lawak itu perlu lahir secara natural tanpa perlu dibuat-buat kerana lawak yang nampak menonjol ini perlu ada keseimbangan,”kata Apek yang ditemui selepas majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Sifu dan Tonga.

Menurut bekas ahli kumpulan lawak Senario ini lagi, dia secara peribadi kagum dengan bakat yang dimiliki oleh Nabil dan dia percaya sebagai pelapis baru Nabil berpontensi untuk pergi jauh dalam arena lawak di negara ini.

"Nabil punya identiti tersendiri sebagai pelawak, dia selalu gabungkan idea-idea yang baru dan bekerjasama dengan dia dalam filem ini satu pengalaman yang menarik," ujarnya. (LAGI)


FAIZAL TAHIR nak pencen lepas AJL..!!

awat hang nie faizal tetiba ja nak bersara nie... cuba hang cerita sikit pasai pa...poning aihh pakcik dengaqnya...

Faizal nekad bersara menyanyi?

TATKALA peminat-peminatnya gembira dengan kemenangan manis penyanyi popular ini di malam Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) malam tadi, cukup mengejutkan apabila Faizal Tahir meluahkan hasratnya di hadapan media berkemungkinan untuk mengundurkan diri dari bidang nyanyian.

Satu keputusan yang pastinya akan menimbulkan ketidakpuasan hati peminat-peminatnya selepas ini, andai kata Faizal nekad dengan keputusan itu.

Masakan tidak, karier seni penyanyi berusia berusia 30 tahun ini memang dilihat sedang memuncak naik.

Mungkinkah AJL23 yang terakhir buat Faizal?

Malah kegagalan beraksi pada Anugerah Juara Lagu tahun lalu nampaknya berjaya ditebus semula oleh Faizal apabila dia berjaya mengaut tiga kemenangan menerusi lagu dendangannya, Sampai Syurga iaitu Vokal Terbaik, Persembahan Terbaik dan juara kategori Balada pada AJL23 yang berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Lagu ciptaan Audi Mok dan lirik oleh Faizal sendiri itu merangkul hadiah wang tunai RM12,000 dan trofi bagi kategori Balada manakala penyanyi itu juga turut memenangi RM10,000 bagi Vokal Terbaik dan RM10,000 lagi bagi Persembahan Terbaik.

Sambil erat memegang tiga buah trofi kemenangannya itu, Faizal akui hasratnya itu mungkin tidak dipersetujui oleh penyokong-penyokong yang tidak putus-putus memberi sokongan sepanjang kira-kira dua tahun dia menyusuri industri hiburan.

Namun, tutur penyanyi berusia 30 tahun ini, dia mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian dan bagi memastikan keputusannya itu tidak akan disesalinya kelak, Faizal bercadang untuk 'berehat' sebentar dari bidang nyanyian dan berfikir tentang halatuju karier seninya itu.

"Bukan disebabkan merajuk. Saya tidak ada sebarang masalah dengan industri ini malah saya cukup gembira dengan arah perkembangan muzik Malaysia sekarang ini.

"Hasrat saya ini memang sudah lama saya fikirkan. Tidak ada sesiapa pun yang mempengaruhi niat saya ini. Susah untuk saya jelaskan di sini, tetapi apa yang boleh saya katakan, usia saya bukannya masih muda lagi. Saya ingin berehat.

"Banyak perkara yang ingin saya lakukan. Saya ingin beri lebih tumpuan kepada keluarga serta beberapa perkara lain. Kalau ada yang perasan, sebelum AJL pun saya agak 'diam' juga, kerana masa saya memang banyak dihabiskan di rumah bersama anak-anak dan isteri.

"Tetapi, perkara ini masih belum saya bincangkan dengan pihak pengurusan lagi dan saya sendiri belum putuskan arah karier seni saya ini.

"Saya mungkin akan bercuti panjang dari bidang nyanyian terlebih dahulu...mungkin untuk beberapa bulan untuk saya pertimbangkan sama ada terus bergerak sebagai penyanyi atau tidak," kata Faizal yang sedang menantikan kelahiran cahaya mata ketiganya bulan hadapan.

Tutur Faizal lagi, meskipun kelak dia nekad untuk meninggalkan karier nyanyiannya, dia tetap akan berada di dalam industri muzik dan meneruskan kerja-kerja di belakang 'tabir'.

"Minat saya tetap dalam bidang muzik. Bukan bermaksud jika saya tidak menyanyi lagi, saya memang akan terus tinggalkan bidang ini. Banyak perkara yang ingin saya capai dalam arena ini.

"Saya rasa, banyak sudah pengalaman yang saya kutip selama dua tahun sebagai penyanyi. Kalau boleh, saya ingin teruskan dengan kerja-kerja belakang tabir seperti penciptaan lagu dan lirik," jelas Faizal sambil tersenyum.


RANGKUMAN AJL23

AJL23 gempak habis!

PERSEMBAHAN finalis Anugerah Juara Lagu ke-23 (AJL23) termasuk artis jemputan iaitu One Nation Emcees, M. Nasir, Jamal Abdillah, Jaclyn Tahir, Wada, Haqiem dan Hafiz berjaya memukau 15,000 penonton di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Rata-rata penonton yang hadir memberikan sorakan dan tepukan gemuruh kepada penyanyi yang membuat persembahan.

Persembahan 'opening' One Nation Emcees berjaya memukau penonton dengan rentak rap mereka. -foto The Star oleh KAMARUL ARIFFIN

Band Sofaz yang berjaya layak ke peringkat akhir AJL dua tahun berturut-turut bagaikan sudah selesa walaupun membuat persembahan pertama. Dengan lagu hits Bukan Di Sini, Sofaz berjaya menghiburkan penonton dengan persembahan yang sederhana.

Dengan bertemankan gitar, Aizat yang pertama kali bergelar finalis AJL menyanyikan Lagu Kita dengan sepenuh jiwa sehingga membuatkan penonton terpukau dengan persembahannya yang bersahaja itu.

Aiman, penyanyi kelahiran Akademi Nasyid ini juga tidak ketinggalan bersaing di dalam kategori Etnik Kreatif menerusi lagu Dusta Berkalang. Dari segi persembahan, vokal Aiman masih perlu digilap dan menyebut bait lirik dengan betul selain kostum yang dipakainya agak tidak sesuai serta berserabut dan menyebabkan Aiman kelihatan kurang selesa ketika beraksi di pentas.

Faizal Tahir mengalunkan lagu Cuba dengan persembahan yang ringkas dan bersahaja memandangkan lagu tersebut merupakan lagu pertamanya. Namun, kehebatan vokal Faizal memang tidak perlu disangkal lagi.

Sama seperti Sofaz, Estranged yang kali kedua bergelar finalis AJL23 memberikan persembahan yang unik dengan menggunakan kain tirai putih. Walaupun gagal mengulangi kejayaan mereka pada tahun lalu, Estranged masih berjaya memukau penonton dengan vokal mantap dan paduan muzik bertenaga.

Ayu yang mendapat jolokan Whitney Houstan oleh pengacara Ally Iskandar, Cheryl Samad dan Faizal Tahir pada malam tadi tidak kalah dengan vokal 'Hanya Di Mercu'nya namun nasib tidak menyebelahinya.

Walaupun menggantikan Mawi, Zahid masih berjaya menyanyikan lagu Doa Dalam Lagu mengikut identitinya sendiri. Heliza pula tampak selesa dengan gandingan barunya itu.

Faizal memang hebat! Itulah yang berjaya diluahkan selepas menonton persembahan keduanya menerusi lagu Sampai Syurga. Tidak hairanlah persembahan ini berjaya meraih Persembahan Terbaik dengan kerana menonton persembahan Faizal ibarat melihat klip video.

Spider yang kali terakhir membuat persembahan menerusi lagu Rela Ku Pujuk pada 2004 kembali bersaing dengan mempertaruhkan lagu Bila Nak Saksi. Tam menyampaikan lagu tersebut dengan bersahaja tetapi aura Spider masih ada apabila persembahan mereka berjaya memikat hati penonton.

Lagu Aku Stacy memang tepat dan tercipta untuk penyanyinya, Stacy! Dengan kelincahan tarian dan paduan vokal bertenaga daripada Stacy, dia telah berjaya menggamatkan suasana sehingga ada penonton yang bangun berdiri di akhir persembahannya.

Ziana Zain yang enam tahun 'berehat' daripada AJL kini kembali bersaing menerusi lagu Dingin. Ternyata vokal Ziana masih utuh dan bertenaga sehingga ramai penonton yang bersorak memberikan sokongan ketika beliau melontarkan 'high pitch'. Tahniah Ziana!

Contengan pada muka vokalis Meet Uncle Hussein, Lan ini memberikan satu daya penarik. Keunikan tersebut mengiringi persembahan bertenaga dan gempak melalui Lagu Untukmu sehingga penonton tidak berhenti memberikan sorakan dan tepukan dari awal mereka mula membuat persembahan.

Farawahida tidak kalah dengan persembahan bertemakan Cina bertepatan dengan lagu Persoalan Cinta yang menggunakan peralatan muzik 'ehu'. Dengan vokal yang lantang, kejayaan Farawahida menerusi kategori Etnik Kreatif tidak perlu disangkal lagi.

Persembahan Elyana menerusi lagu Kalis Rindu tidak kalis dengan props yang menarik. Walaupun hanya duduk di atas tangga, Elyana berjaya melakukan persembahan dengan cara tersendiri. Elyana juga tidak lupa mengenakan kasut hitam sesuai dengan tema persembahannya berwarna pink itu.

Jaclyn Victor menyampaikan lagu Gemilang dengan adik Wada, Juara Idola Kecil.

Jamal Abdillah diundang menyanyikan lagu Gadis Melayu dengan adik Haqiem Idola Kecil. Persembahan mereka mendapat tepukan gemuruh daripada penonton.

M. Nasir menyanyikan lagu Andalusia bersama adik Hafiz Idola Kecil.

Paduan nyanyian antara Hafiz, Haqiem, Wada, Jaclyn Victor, Jamal Abdillah dan M. Nasir menerusi lagu Isabela berjaya menawan hati penonton sehingga ramai yang tidak henti bersorak.Ternyata persembahan 'interlude' semalam merupakan persembahan penutup yang terbaik.

Tidak salah jika dikatakan, AJL23 adalah yang terbaik setakat ini! Selain bebas kontroversi, hampir semua persembahan finalis malam tadi cukup menarik.

Malah, dari aspek teknikal juga, pihak penerbitan nampaknya sudah lebih teliti dan tidak mempunyai sebarang masalah.

Bertemakan Iluminasi Muzik, AJL23 berjaya menampilkan konsep yang sesuai dengan tema "cahaya" itu di samping set pentas yang menarik.

Antara finalis yang mendapat sorakan paling gemuruh adalah Faizal Tahir yang menyampaikan dua buah lagunya iaitu Cuba dan Sampai Syurga, Stacy (Aku Stacy), Ziana Zain (Dingin) dan Meet Uncle Hussein (Lagu Untukmu).